KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap Kementerian Pengangkutan membenarkan bas pelancong dari Thailand untuk masuk ke negeri-negeri sempadan dalam usaha merancakkan industri pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, jika peraturan itu dilonggarkan sektor pelancongan termasuk Kedah, Perlis dan Perak akan berkembang dengan lebih pesat sekali gus merancakan pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, peraturan yang sedia ada sebelum ini tidak membenarkan bas pelancong dari Thailand untuk masuk ke negara ini.
“Ramai pemain industri pelancongan dari negara Gajah Putih itu merungut dengan peraturan tersebut. Saya difahamkan, peraturan itu diwujudkan bertujuan menjaga perkhidmatan bas pelancongan milik rakyat tempatan.
“Bagaimanapun kita berhadapan dengan masalah kekurangan bas pelancong,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas itu memberitahu, beliau bersama pemimpin di negeri-negeri sempadan akan mengadakan pertemuan pihak kementerian untuk membincangkan perkara tersebut.
Katanya, usaha untuk mengadakan pertemuan itu sedang giat dilakukan dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebelum ini, bas pelancong dari negara jiran hanya dibenarkan di kawasan sempadan sahaja. Sebenarnya, ramai rakyat lain masuk ke Kelantan untuk membeli-belah barangan berjenama yang tidak dijual di negara mereka.
“Saya yakin, jika peraturan itu dilonggarkan, ia baik untuk industri,” ujarnya.-UTUSAN










