BACHOK: Seorang bekas banduan dicekup selepas terlibat dalam kes menyimpan barangan curi dan pecah rumah di Kampung Tasek Mahligai, di sini kelmarin.
Suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan semalam selepas polis menjalankan Op Lusuh/Op Pintu/Op Cantas yang terdiri daripada pegawai, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bachok dan anggota Balai Polis Gunong.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd. Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mengatakan tingkap di bahagian beberapa sinki dapur rumahnya dalam keadaan terbuka dan jerji besi diumpil.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kelengkapan rumah di dalam rumah mangsa turut hilang.
“Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum menjumpai tiga kesan cap jari sebelum Op Lusuh/Op Pintu/Op Cantas dijalankan untuk mengesan suspek.
“Hasil daripada operasi itu, suspek berjaya ditahan dan beberapa barangan yang dipercayai milik mangsa seperti sebuah
televisyen, sebuah kipas angin, sebuah pemanas air elektrik, sebuah periuk
nasi, sebuah enjin air dan sebilah gergaji yang disyaki digunakan oleh lelaki tersebut turut dijumpai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Ismail memberitahu, suspek yang mempunyai lapan rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah itu.
Menurutnya, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Mohd. Ismail, suspek direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.-UTUSAN










