SEREMBAN: Sebanyak 114 kompaun dan 150 notis arahan telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan kepada pemilik-pemilik kenderaan perdagangan kerana kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had yang ditetapkan pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan berkata, kesemua kompaun berkenaan dikenakan merujuk kepada Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, standard pelepasan asap bagi kenderaan berenjin diesel adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (50 HSU)
Menurutnya lagi, pada tahun lepas, sebanyak 38 operasi bersepadu telah dijalankan bersama agensi penguatkuasa akan meneruskan kesinambungan pada tahun ini di setiap daerah.
“Ia bagi memastikan semua pemilik kenderaan perdagangan ini peka mengenai had pelepasan asap hitam kenderaan masing-masing sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar kita,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Bersepadu Kenderaan Motor 2024 bersempena Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Katanya lagi, rondaan berterusan di setiap daerah juga akan dilakukan bagi mengenal pasti kenderaan-kenderaan perdagangan yang melepaskan asap hitam berlebihan.
“Pemilik kenderaan perdagangan diharapkan dapat memahami kepentingan menjaga alam sekitar dengan memastikan kenderaan milik mereka sentiasa diselenggara dengan baik,”katanya.-UTUSAN.











