‘Ali baba’ lemahkan kaum bumiputera

‘Ali baba’ lemahkan kaum bumiputera

JOHARI Abdul Ghani (tengah) dalam Diskusi Madani 1: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Budaya ‘ali baba’ melemahkan usahawan bumiputera, malah ia menyebabkan kaum itu terus ketinggalan dalam bidang perniagaan dan ekonomi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM1.7 trilion kontrak atau projek telah diagih­kan kepada usahawan bumiputera tetapi mereka tetap alami kerugian kera­na budaya negatif tersebut yang lebih menguntungkan pihak menjadi ‘ejen’ kepada mereka.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, sikap itu merugikan kaum bumiputera menjadikan mereka terus lemah dan ketinggalan kerana segala peruntukan kerajaan lebih ba­nyak mengalir kepada pihak yang menjadi ‘ejen bumiputera.’

Memuatkan artikel berkaitan…

“Amat malang kerana konsep ali baba menyaksikan usahawan bumiputera yang mengalami kerugian.

“Mereka mahu masuk berniaga tapi tidak bersedia. Ketika inilah wujudnya ali baba,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Diskusi Madani 1: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, semalam.

KEB 2024 yang bermula semalam hingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada sesi libat urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.

Justeru, Johari mencadang­kan kepada kerajaan supaya mewujudkan satu pangkalan data khusus bagi usahawan dan syarikat bumiputera.

Menurutnya, ­pangkalan data tersebut penting bagi mengelak ketirisan dan men­cegah budaya ali baba.

“Kita tidak mahu lagi konsep ali baba ini, kita hendak bagi kepada bumiputera tulen. Kalau ada polisi atau dasar baharu, kena bagi kepada bumiputera yang tulen,” katanya.

Katanya, pangkalan data itu tidak boleh di satu-satu kementerian sahaja sebaliknya satu pangkalan data diguna pakai untuk rujukan semua.

Johari berkata, pangkalan data itu penting bagi memboleh­kan kerajaan melaksanakan saringan dan mengesahkan sesuatu perniagaan berkaitan bumiputera secara berkesan.

“Pangkalan data ini juga dapat membantu memastikan hanya usahawan bumiputera yang layak menerima projek atau insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita nak pangkalan data ini, kalau tak ada sampai bila-bila kita akan lakukan kesilapan termasuk memberi pe­luang atau mendidik usahawan yang bukan usahawan sebenar,” ujarnya.

“Negara kita sudah merdeka 67 tahun, bumiputera ada 70 peratus tetapi kita masih lagi terperangkap dalam ekonomi seperti hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan dijangka membangunkan satu set dasar berkaitan pemerkasaan bumiputera se­kitar Mei atau Jun ini hasil daripada proses libat urus KEB 2024.

Menurutnya, ketika ini, proses libat urus sedang berlaku yang diketuai wakil bukan kerajaan dan pandangan-pandangan daripada pihak kerajaan.

“Set dasar itu diharap dapat menghasilkan kumpulan kelas bumiputera yang positif, progresif dan inovatif, iaitu sejajar dengan tema KEB 2024,” katanya ketika ditemui pada KEB 2024.

Dalam perkembangan lain, Rafizi menjelaskan, kerajaan berhasrat menyatukan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera untuk bersama-sama bersaing di peringkat global.

“Jadi, KEB pada kali ini memang dirancang ke arah itu. Saya akan tunggu reaksi. Akan ada (reaksi) yang bersetuju, akan ada yang tak bersetuju,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, KEB 2024 diharap dapat memperbaiki kelemahan dan kepincangan sebelum ini, namun ia bukan pengganti kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya, tujuan utama kongres itu diadakan adalah mengatur semula penyertaan bumiputera dalam kegiatan ekonomi negara.

“KEB ini untuk kita ukur semula kejayaan, juga menilai di mana kita gagal, apa kelemahan kita dan apa yang perlu kita baiki.

“Ini untuk transformasi mengikut keadaan semasa, ini juga merupakan satu kaedah di mana kita nak membesarkan kek ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini