93,455 mohon pengenalan diri melalui Mekar

93,455 mohon pengenalan diri melalui Mekar

BADRUL Hisham Alias (dua dari kanan) menyantuni warga emas pada Program Mekar JPN di Rumah Seri Kenangan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 93,455 permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di seluruh negara sejak tahun 2020 sehingga 15 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata, kesemua permohonan berkenaan diterima melalui 5,273 program Mekar dengan 42,925 permohonan diberikan khidmat nasihat.

Menurutnya, melalui program tersebut pihaknya turun padang untuk menguruskan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan masyarakat di kawasan pedalaman.

“Ia merupakan pendekatan proaktif JPN dalam memastikan dokumen pengenalan diri yang sah dikeluarkan bagi setiap penduduk Malaysia yang layak sekali gus membolehkan mereka menikmati kemudahan ditawarkan oleh kerajaan.

“Tiga negeri yang merekodkan permohonan paling banyak melalui program Mekar adalah Putrajaya, Perak dan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen pengenalan diri dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada warga emas dan OKU menerusi program Mekar di Rumah Seri Kenangan di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Badrul Hisha menafikan tohmahan pihaknya meminggirkan masyarakat Orang Asli dalam urusan berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri.

Katanya, JPN telah turun padang  dalam menguruskan dokumen pengenalan diri termasuk di kawasan penempatan Orang Asli di seluruh negara termasuk pedalaman Sabah dan Sarawak. 

“Kita sudah ke seluruh tempat kecuali kaum-kaum yang hidup nomad dan sukar untuk kita dekati. Seboleh mungkin kita akan pergi ke perkampungan Orang Asli sungguhpun berdepan kekangan seperti bentuk muka bumi dan jarak perjalanan jauh. 

“Malah kita akan memastikan program seperti Mekar dilaksanakan secara berkala di kampung-kampung Orang Asli,” ujarnya.

Badrul Hisham berkata, orang ramai tidak perlu risau berkait dengan aspek keselamatan MyKad kerana ia cukup diyakini sebagai antara yang terbaik.

Katanya, Malaysia antara negara terawal memperkenalkan teknologi MyKad.

“Di peringkat JPN sendiri kita rasa tiada pencerobohan berlaku ke atas sistem MyKad kita.

“Kita percaya tiada apa-apa kesilapan, kelemahan dan kecacatan pada MyKad termasuk cip keselamatannya. Yang ada hanya pemalsuan kad. Sama tetapi tidak serupa. Material berbeza dan cip ada tetapi tiada fungsi,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN