600 program IPT tiada akreditasi - Utusan Malaysia

600 program IPT tiada akreditasi

Lepasan SPM dinasihat menyemak akreditasi setiap program yang ditawarkan oleh IPT sebelum membuat permohonan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan supaya menyemak status institusi pendidikan tinggi (IPT) yang dimohon bagi memastikan program ditawarkan mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Moha­mmad Shatar Sabran berkata, ini kerana masih terdapat lima peratus atau kira-kira 600 kursus yang ditawarkan di IPT belum mendapat akreditasi kerana tidak meme­nuhi piawaian.

“Bagi mengelak terambil kursus-kursus yang tidak diiktiraf MQA, lepasan SPM diminta menyemak terlebih dahulu status setiap program yang mahu diikuti.

“Cara memastikan akreditasi sesebuah program mudah iaitu pelajar boleh melayari laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my dengan semak di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) atau melalui aplikasi MyMQR,” kata beliau.

Selepas semakan katanya, pelajar juga boleh berhubung terus dengan mana-mana IPT yang menjadi pilihan kerana manipulasi maklumat boleh berlaku sekiranya berurusan dengan pihak yang sebenarnya bukan wakil yang sah yang menawarkan pengajian.

PROGRAM

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, seba­nyak 12,000 program pengajian dalam pelbagai bidang yang ditawarkan IPT di negara ini sudah mendapat akreditasi MQA.

Namun, katanya, masih kira-kira lima peratus program yang ditawarkan IPT tidak meme­nuhi standard dan pelajar patut mengelakkan daripada mengikuti kursus yang tidak diiktiraf MQA.

Beliau berkata, semua program pengajian wajib mendapat akreditasi sementara daripada pihak MQA sebelum mendapat akreditasi penuh.

“Sekiranya program tersebut tidak mendapat akreditasi penuh, IPT boleh membuat permohonan semula selepas menambah baik program pe­ngajian tersebut.

“Pada masa sama, akreditasi penuh yang diperoleh bagi program yang lain tidak terjejas, justeru IPT masih boleh ber­operasi dengan menawarkan program lain,” katanya.

DILAKSANAKAN

Mohammad Shatar berkata, perkara asas yang perlu dilaksanakan adalah untuk mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan seterusnya boleh menawarkan program kepada pihak awam.

Katanya, antara perkara yang wajib bagi mendapatkan akreditasi MQA adalah mempunyai kelayakan tenaga pengajar, pengendalian program-program dengan baik, memenuhi syarat-syarat kemasukan pelajar yang ditetapkan pihak kementerian.

“Kemudahan-kemudahan bagi setiap program juga adalah penting. Jika tidak mereka sukar untuk mendapat kelulusan atau akreditasi sementara di peringkat permulaan.

“Mereka wajib memohon daripada MQA untuk mendapatkan akreditasi penuh setelah mendapat akreditasi sementara untuk satu program sebelum pelajar tersebut bergraduasi” katanya.

Tegasnya, IPT yang gagal mendapat akreditasi penuh MQA perlu mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Beliau memaklumkan, pro­ses mendapatkan akreditasi penuh mengambil masa kira-kira sembilan minggu.

Tahun lalu, seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×