PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini berpendirian, lima lelaki merupakan individu terakhir dilihat bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais sebelum kereta mendiang dilanggar secara sengaja ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran kediamannya, sembilan tahun lalu.
Mereka ialah bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 32; A.K. Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34 serta S. Nimalan, 31.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail berpuas hati, selaku individu terakhir bersama-sama Kevin, mereka berpeluang mendatangkan kecederaan terhadapnya.
Mahkamah turut berpendapat, perayu pertama yang juga bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 61, mempunyai niat dan motif membunuh Kevin manakala lima yang lain adalah orang suruhannya.
Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara mengekalkan hukuman mati terhadap keenam-enamnya selepas menolak rayuan mereka.
Beliau berkata, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui saksi pendakwaan ke-54, G. Gunasekaran bagi mengaitkan tertuduh-tertuduh dengan pembunuhan Kevin.
Gunasekaran pada mulanya merupakan tertuduh kedua dalam kes tersebut, namun pada hari ke-36 perbicaraan, dia mengaku bersalah menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin.
Dapatan Mahkamah Tinggi menyatakan pada 4 September 2015, Gunasekaran bersama-sama lima individu itu bergerak ke kediaman Kevin di Kondomiminium Menara Duta kira-kira pukul 5.30 pagi, menunggu beberapa minit sebelum mengekori mendiang yang memandu Proton Perdana.
Gunasekaran dan Ravi Chandran menaiki Proton Perdana berlainan manakala empat tertuduh lain menaiki Mitsubishi Triton.
Panel itu berpuas hati, ketika di lampu isyarat berhampiran kediamannya, Triton tersebut dengan sengaja melanggar kereta Kevin.
“Mahkamah bersetuju dengan hakim bicara bahawa tindakan kelima-lima perayu berkumpul di Restoran Syed Bistro sebelum kejadian dan mereka berada bersama-sama semasa pelanggaran dan seterusnya menculik si mati, membuktikan niat bersama untuk membunuhnya.
“Kecederaan-kecederaan yang dialami si mati (mendiang Kevin) dan keadaan mayatnya menunjukkan perbuatan itu tidak boleh dilakukan oleh seorang individu,” ujar Hakim Hadhariah ketika membacakan penghakiman ringkasnya.
Penghakiman itu turut menyebut fakta kes pendakwaan bahawa mayat Kevin ditemukan berpakaian lengkap tanpa kasut manakala tangannya diikat ke belakang dengan tali leher.
“Terdapat tujuh kesan tekanan dan himpitan pada dada, bahu dan belakang manakala mayatnya dimasukkan dalam guni dalam posisi janin. Guni diikat dengan dawai besi dan dimasukkan dalam tong dram yang kemudian dicurah dengan simen sebelum dibuang ke dalam paya,” menurut penghakiman.
Fakta turut menyatakan, kereta Kevin ditemukan terbakar sepenuhnya di ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak manakala bahagian nombor chasis dipotong dan dibuang sementara bahagian nombor enjin mempunyai kesan kikisan yang dalam.
Menurut saksi pakar forensik, punca kematian adalah kerana tidak boleh bernafas dan Kevin telah mati sebelum dimasukkan dalam guni dan keadaan itu tidak boleh dilakukan hanya oleh seorang pelaku.
Mereka didakwa membunuh Kevin ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015 manakala mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015. – UTUSAN










