SEREMBAN: Seramai 3,800 pegawai dan anggota polis kontinjen Negeri Sembilan akan bertugas di negeri ini sempena musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, penugasan tersebut termasuk ketika pelaksanaan Op Selamat yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Polis Negeri Sembilan tetap dengan penugasan kami untuk menjaga keselamatan dan keamanan di negeri ini. Seperti biasa lebih kurang 20 peratus yang akan bercuti secara bergilir sempena Aidilfitri akan datang manakala 3,800 pegawai dan anggota akan bertugas.
“Di Negeri Sembilan juga ada 19 hotspot kemalangan dan kesesakan jalan raya dan pihak kami akan turut memantau menerusi pelaksanaan Op Selamat yang akan dilancarkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peringatan Hari Polis Ke-217 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Padang Kawad Sekolah Latihan Kontinjen (SLAK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan juga, Ahmad Dzaffir turut menyampaikan surat penghargaan dan anugerah integriti kepada pegawai dan anggota serta kepada orang awam.
Dalam pada itu, beliau menyarankan semua rakyat dan penduduk di negeri ini untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah semasa cuti perayaan nanti kepada balai polis yang terdekat ataupun melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Ia supaya pihak polis dapat membuat rondaan dan memantau di kawasan perumahan semasa ketiadaan mereka nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, pihak polis Negeri Sembilan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat anggota dan kakitangannya yang didapati terlibat dalam isu pemerasan yang bukan hanya terhadap warga asing sahaja.-UTUSAN.








