PORT DICKSON: Sebanyak 2,600 telur penyu berjaya diselamatkan di pantai-pantai di daerah ini pada tahun lalu yang kemudian akan dieram sebelum dilepaskan kembali ke laut.
Ketua Cawangan Perikanan Tangkapan, Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Pejabat Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, kesemua telur penyu berkenaan diselamatkan tiga pemungut telur penyu berdaftar di negeri ini atau ranjer penyu dan pihak Hotel Glory Beach Resort yang diberi kebenaran bersyarat menjalankan peranan konservasi penyu.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 2,300 telur dapat menetas dan jumlah berkenaan agak tinggi iaitu 90 peratus kadar penetasan. Kita lepaskan anak-anak penyu ini dan kebiasaannya juga, penyu ini apabila ingin bertelur, penyu akan kembali ke pantai yang dilepaskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kelab Pusat Penetasan Penyu Glory dan Pelepasan Penyu, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Pada majlis itu, Nicole Tan turut menyempurnakan simbolik pelepasan empat ekor penyu di mana dua ekor daripadanya merupakan penyu yang diselamatkan tersangkut di jaring nelayan.
Terdapat dua spesies penyu yang mendarat di pantai-pantai Port Dickson iaitu penyu karah dan penyu agar.

Sementara itu, Ketua Kelab Pusat Penetasan Penyu Glory, Hishamudin Abdul Manaf berkata, sebanyak 13,000 anak penyu berjaya dilepaskan di Pusat Penetasan Penyu Glory, di sini, sejak pusat berkenaan diwujudkan 13 tahun lalu.
Bagaimanapun menurut beliau, daripada jumlah tersebut kebiasaannya hanya satu daripada 1,000 penyu yang dilepaskan berjaya hidup memandangkan risiko kematian bagi anak penyu adalah agak tinggi.
Katanya lagi, semasa di laut pula, penyu berkenaan berisiko untuk mati disebabkan pencemaran plastik yang kerana menyangkakan plastik tersebut merupakan makanan mereka iaitu obor-obor.
“Tugas saya adalah memantau penyu mendarat dan memastikan kawasan penyu naik untuk bertelur tiada gangguan manusia ataupun menyelamatkan telur berkenaan dari ancaman binatang seperti anjing dan biawak.
“Kebiasaan sekitar 800 ke 1,500 biji telur setahun penyu bertelur di pantai di sini iaitu dari bulan April hingga Disember. Pantai-pantai di sini yang kebiasaannya menjadi tempat penyu bertelur adalah di pantai Hotel Glory Beach Resort, Pantai Tanjung Gemuk, dan Pantai Bagan Pinang,” katanya lagi.
Sementara itu, Nicole Tan berkata, pusat penetasan penyu yang terdapat di hotel berkenaan merupakan antara salah satu daripada 100 produk pelancongan di pantai peranginan berkenaan yang boleh dikunjungi oleh pelancong domestik dan luar negara.
“Kita boleh menjadikan tempat ini sebagai salah satu dari promosi pendidikan bukan hanya kepada lebih 400 buah sekolah di negeri ini sahaja bahkan di seluruh negara.
“Melalui cara ini kita dapat mendidik masyarakat untuk berusaha melindungi spesies ini dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan terus sekiranya ternampak telur penyu atau anak penyu di kawasan pantai,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kehadiran penyu yang mendarat di kawasan pantai membuktikan pantai-pantai Port Dickson bersih serta sangat sesuai untuk dikunjungi orang ramai.-UTUSAN.









