LANGKAWI: Seorang peniaga di Bazar Syawal, di sini terpaksa menanggung kerugian sehingga RM100,000 apabila khemah dan barang niaganya diterbangkan ribut, awal pagi semalam.
Tinjauan di bazar yang menjual persiapan perayaan Aidilfitri itu mendapati, terdapat beberapa khemah yang musnah dan barang-barang niaga bertaburan.
Seorang peniaga, Siti Sarah Hana Mohamad Subri, 22, memberitahu, semua pakaian raya dan sebahagian tudung yang diletakkan di khemahnya tidak dapat dijual kerana rosak terkena hujan.
“Kami ada dua khemah, satu khemah patah menyebabkan semua pakaian yang diletakkan di situ basah dan kotor.
“Sekarang saya buntu kerana pakaian tersebut tidak boleh dibasuh seperti biasa kerana mempunyai manik dan dianggarkan kami rugi sekurang-kurangnya RM100,000,” katanya ketika ditemui.
Seorang peniaga tudung, Nur Liyani Naharuddin, 33, pula berkata, 700 helai tudung yang dijualnya turut rosak apabil terkena hujan.
Sementara itu, Azlinda Johar, 51, yang menjual barang perhiasan rumah menyatakan dia tidak dapat mencari khemahnya kerana sudah diterbangkan ribut.
“Saya hanya jumpa ‘banner’ yang dipasang pada khemah kira-kira 10 meter daripada tapak khemah. Tapi saya tidak pasti khemah saya sudah terbang ke mana kerana ada beberapa khemah lain yang terbang dan juga patah,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, sebanyak 30 buah khemah didapati rosak di bazar tersebut.
“Selain itu, 135 buah khemah di Bazar Ramadan Pelancongan di pekan Kuah juga rosak dilanda ribut berkenaan. MPLBP akan cuba selesaikan masalah peniaga di bazar-bazar tersebut dan akan pastikan mereka dapat kembali berniaga secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.











