1,200 murid, pelajar di Jerantut terima BAP - Utusan Malaysia

1,200 murid, pelajar di Jerantut terima BAP

HARIS SALLEH Hamzah (depan, tengah) bersama tetamu dan penerimaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 1,200 murid dan pelajar dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sumbangan kerajaan negeri di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Padang Piol di sini.

Ketua UMNO Jerantut yang juga wakil Menteri Besar, Haris Salleh Hamzah berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 16,800 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di negeri ini melibatkan inisiatif peruntukan bernilai RM1.5 juta daripada Yayasan Pahang.

“BBP ini berkonsepkan kongsi rezeki melibatkan 29 kluster tetap diteruskan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada tahun ini untuk meringankan beban keluarga B40 di negeri ini.

“Bantuan ini tidak wajar dilihat daripada aspek politik kerana kerajaan negeri sememangnya bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyat khususnya nasib kumpulan B40 terbela khususnya perbelanjaan keperluan peralatan persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan BAP Pahang tahun ini peringkat Parlimen Jerantut di Felda Padang Piol di sini.

Sempena majlis tersebut, Haris Salleh menyampaikan bantuan berupa beg sekolah, alat tulis dan botol air kepada. 215 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Padang Piol, SK Felda Sungai Retang, SK Pasir Durian, SK Chebong, manakala pelajar dari dua buah sekolah menengah, iaitu SMK Felda Padang Piol dan SMK Felda Sungai Retang bagai kawasan DUN Tahan.

Haris Salleh menjelaskan, inisiatif itu dapat dilaksanakan berasaskan kestabilan politik dan ekonomi kerajaan negeri yang mana pada tahun lalu sahaja berjaya mengutip hasil cukai berjumlah RM1.08 billion dan ia dikembalikan semula kepada rakyat melalui konsep berkongsi rezeki.

“Tidak ada unsur politik serta tidak perlu diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menjerat pemikiran rakyat kerana sememangnya hasrat kerajaan negeri ingin meningkatkan mutu pendidikan dan melahirkan generasi yang pintar bagi mendepani cabaran pembangunan negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Azam Akil berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan BAP setiap tahun yang meringankan perbelanjaan bapanya seorang penoreh getah bagi membeli kelengkapan sekolah.

“Bantuan ini sangat saya hargai da menjadi pembakar semangat untuk terus belajar bersungguh bagi jaminan kejayaan sekali gus dapat mengubah kehidupan keluarga pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN