10 tahun Gaza tidak boleh didiami - Utusan Malaysia

10 tahun Gaza tidak boleh didiami

Rakyat Palestin memeriksa kemusnahan di bangunan kediaman akibat pengeboman Israel di Rafah di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu me­nyaksikan wilayah itu mungkin tidak boleh lagi didiami sehingga 10 tahun akan datang.

Ini kerana kawasan yang musnah itu memerlukan se­kurang-kurangnya 10 tahun untuk dipulihkan dan pemulihan itu pula hanya melibatkan perkara paling asas seperti kawasan perumahan dan kemudahan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, serangan tentera rejim Zionis terhadap Gaza ketika ini boleh disamakan se­perti Perang Dunia Kedua yang menyaksikan ‘kemusnahan tan­pa sempadan’ di wilayah ber­kenaan.

Menurut beliau, hampir ke­seluruhan infrastruktur dan rumah penduduk di Gaza musnah.

“Dalam beberapa konflik yang berlaku antara Palestin dengan Israel sebelum ini, kemusnahan yang berlaku tidak begitu dahsyat sehinggakan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal dan proses membaik pulih juga mengambil masa beberapa bulan sahaja.

“Namun, serangan kali ini menyaksikan kemusnahan amat teruk dan Gaza mungkin tidak boleh didiami untuk sekurang-kurangnya sehingga 10 tahun akan datang.

DIBAIKI

“Terlalu banyak perlu dibaiki bagi membolehkan penduduk Palestin boleh menjalani kehidupan seperti sebelum perang dan proses itu sudah tentu mengambil masa yang lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini, baki penduduk Gaza yang selamat berlindung di Rafah, iaitu di selatan Gaza yang disifatkan sebagai ‘kubu terakhir’ mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir memaklumkan, pembinaan semula Gaza perlu mengikut cara pemikiran penduduk yang menetap di sana.

“Kalau mahu membina semula Gaza, kita tidak boleh mengikut cara pemikiran kita tetapi kita kena berfikir cara pemikiran orang Gaza.

“Penduduk Gaza apabila ru­mah mereka musnah hari ini. Mereka akan bina semula keesokannya dan meneruskan kehidupan dengan apa yang mereka mampu kerana mereka sudah biasa dengan kesusahan.

“Pada mereka, ada tempat berteduh sudah mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai genca­tan senjata, Muhammad Nadir berkata, masih terdapat perbincangan bagi memastikan tindakan itu dapat dilaksanakan de­ngan lancar, selain menge­lakkan tentera Israel melakukan penipuan dan mengambil ke­sempatan.

“Hamas mahu Israel hentikan sepenuhnya serangan di wilayah itu, namun ditolak Zio­nis yang menuntut supaya tawanan dibebaskan terlebih dahulu.

“Isu-isu berkenaan boleh diselesaikan, namun mungkin bukan dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN