Warga asing mengaku bersalah tawar, beri rasuah RM250 - Utusan Malaysia

Warga asing mengaku bersalah tawar, beri rasuah RM250

WARGANEGARA Indonesia, Usman (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi dituduh menawar dan memberikan rasuah kepada seorang anggota polis di Seremban pada 6 Februari lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang warganegara Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas pertuduhan menawar dan memberikan wang rasuah berjumlah RM250 kepada anggota polis pada 6 Februari lalu. 

Tertuduh, Usman dengan nombor pasport C1138115 membuat pengakuan tersebut selepas jurubahasa membacakan kertas pertuduhan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Kampung Chenor, Kuala Klawang, Jelebu telah secara rasuah memberikan suatu suapan iaitu wang tunai RM250 kepada seorang anggota polis, Lans Koperal Muhammad Hishammuddin Jalaluddin yang bertugas di Balai Polis Sikamat di sini.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipnya supaya tidak diambil tindakan undang-undang dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada tertuduh yang didapati melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah. 

Perbuatan itu dilakukan di Balai Polis Sikamat dalam daerah Seremban kira-kira pukul 6.20 petang pada 6 Februari lalu. 

Oleh demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan wang jaminan kepada tertuduh dan memohon satu tarikh kepada mahkamah untuk sabitan. 

Mohamad Kamil kemudiannya menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk sebutan kes jatuh hukum terhadap tertuduh.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN