SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini membuka era baharu dalam industri penternakan kambing di negara ini apabila menawarkan Kursus Penternakan Kambing: USIM Breeder di bawah penyeliaan Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU).
Menurut Pengarah PKUU, Prof. Madya Ts. Dr. P. Sundresan berkata, menerusinya, sebuah kandang yang menempatkan lebih 60 ekor kambing telah dibina dengan keluasan satu hektar berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM.
Jelas beliau, projek yang telah bermula pada bulan Ogos 2023 dan dijangka berakhir hujung bulan Julai ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Verterinar serta syarikat alumni USIM iaitu Ghonami Global Enterprise.
“Antara matlamat projek ini adalah untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang penternakan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka menjana pendapatan sendiri.
“Ia juga bertujuan menyokong industri penternakan kambing dengan menyediakan pusat latihan dan kemahiran ternakan menggunakan teknologi RFID Tagging dan Precision Breeding.
“Selain itu, projek ini turut mengetengahkan kepakaran dalaman USIM dalam pelaksanaan Modul Pengurusan Daging Halal,” katanya hari ini.
Sundresan memberitahu, seramai 80 pelajar yang mengikuti kursus ini akan menjalani latihan berdasarkan enam modul yang disediakan.
“Dengan adanya penglibatan golongan pelajar dalam kursus penternakan kambing ini, diharapkan agar dapat mencetuskan semangat dan minat dalam bidang ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, apa yang menarik mengenai program itu adalah, ia mempraktikkan konsep zero waste farming iaitu air sisa buangan kambing diguna semula untuk siraman rumput yang ditanam khas sebagai makanan kepada kambing ternakan ini.
Katanya, kambing yang diternak di kandang itu adalah merupakan kacukan baka Dorper dengan baka Santa Ines dan baka Barbados Blackbelly selain itu terdapat juga kambing jenis baka jammunapari dan kacukan boer.-UTUSAN.










