PEKAN: Seramai 524 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DRBHU) kali kelapan yang diadakan dua sesi pada Sabtu lalu.
Pada majlis itu, tiga graduan menerima doktor falsafah (PhD), 16 ijazah sarjana dan 187 graduan dianugerahkan ijazah sarjana muda.
Selain itu, seramai 107 graduan menerima diploma, 16 graduan program asasi, 161 program profesional dan 34 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Graduan Sarjana Muda Pengurusan Perbankan dan Kewangan Islam dengan kepujian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.99, Abdullah Hakim Roslan menerima Anugerah Canselor.
Anugerah Pengerusi dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (CGPA 3.98), Mohamad Aliff Iskandar Nahar manakala Anugerah Naib Canselor milik graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam bidang Pembuatan Komposit Aeroangkasa, Affandy Abdul Wahab, CGPA 3.97.
Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Sultan Haji Ahmad Shah, DRBHU itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Dr. Omar Osman pada sesi petang.
Sementara itu, Omar dalam ucapannya berkata, DRBHU mencapai sasaran akreditasi sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan memperoleh anugerah kategori berdaya saing, iaitu anugerah tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kejayaan ini mencerminkan dedikasi fakulti, kakitangan dan pelajar universiti, serta menempatkan DRBHU dalam kalangan universiti terbaik di Malaysia” katanya, sambil menambah bahawa 93 peratus daripada kumpulan pelajar tahun 2023 berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai industri.
Selain itu, Omar juga memaklumkan bahawa DRBHU mengurniakan ijazah kepada kumpulan pertama, 24 graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam Pembuatan Komposit Aeroangkasa.
“Kursus ini merupakan sebahagian daripada program “2 Tahun Universiti, 2 Tahun Industri” (2U2I) universiti yang dirangka dalam menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat untuk golongan yang bekerja. Ini adalah kerjasama antara DRBHU dan Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat DRB-Hicom yang membekalkan komponen komposit kepada rangkaian industri aeroangkasa global untuk pesawat,” katanya.
Beliau berkata, DRBHU sedang merangka program akademik baharu seiring keperluan terkini pasaran kerja seperti teknologi kenderaan elektrik, sumber tenaga baharu, fintech, elektronik dan semikonduktor, kenderaan tanpa pemandu, dan teknologi kejuruteraan aeroangkasa.
“Program-program ini menunjukkan komitmen kami untuk kekal berdaya saing dalam landskap teknologi dan industri yang sentiasa berubah,” tambahnya. – UTUSAN










