KUALA LUMPUR: UMNO meneliti pandangan berhubung pengampunan diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menentang termasuk daripada parti-parti politik lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui, di dalam UMNO juga terdapat pemimpin-pemimpin menentang dan kalangan yang berbuat demikian mesti ditegur sebelum keadaan menjadi lebih sukar.
Menurut beliau, selagi tiada pandangan dikeluarkan oleh ketua-ketua parti politik maka ia tidak boleh dianggap sebagai pandangan rasmi mewakili parti.
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak berfikir untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk segelintir pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan pengurangan tempoh pemenjaraan Najib.
“Kita akan teliti pandangan yang antagonistik (menentang) daripada individu di dalam organisasi itu.
“Di dalam UMNO pun ada kacang-kacang hantu yang begitu dan tentunya mana-mana organisasi politik ada yang seperti ini. Namun, saya minta agar ketua-ketua parti menegur ahli parti berkenaan.
“Tarik balik, padam tulisan (yang diterbit) dan mohon maaf terhadap keterlanjuran,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan amanat kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif syarikat milikan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
TERKESAN
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, hubungan UMNO dengan DAP tidak terkesan susulan keputusan oleh Lembaga Pengampunan kepada Najib.
“Tidak terkesan, namun, sebagai sebuah gabungan parti di dalam Kerajaan Perpaduan, kita mesti menyantuni perbezaan pendapat, menaruh penuh hormat kepada kepimpinan parti. Saya juga tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin sayap atau ahli parti yang membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh individu berkenaan yang tidak mewakili parti,” katanya.
Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua Kiam Wee memuat naik hantaran di Facebooknya selepas keputusan Lembaga Pengampunan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian memulakan siasatan ke atas pemimpin DAP di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan serta mengajak orang ramai membenci institusi diraja.
Bekas Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Dr. Ong Kian Ming pula dalam kenyataan semalam menggesa partinya menyatakan pendirian mereka secara jelas terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib.
Katanya, DAP tidak seharusnya secara terus mengambil pendekatan berdiam diri dalam beberapa isu penting, manakala pengurangan hukuman dihadapi Najib berkemungkinan disebabkan kompromi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menenangkan penyokong Najib.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini hanya mengeluarkan kenyataan dengan meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi keputusan pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
Ini kerana, katanya, walaupun terdapat beberapa pihak tidak berpuas hati, namun ia merupakan keputusan muktamad dan perlu dihormati semua pihak.
Lembaga Pengampunan sebelum ini memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara Najib dikurangkan dari 12 ke enam tahun dan denda perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.- UTUSAN










