Tiada keperluan ganti trak TDM - Utusan Malaysia

Tiada keperluan ganti trak TDM

MOHAMED KHALED Nordin (kiri) mengunjungi seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Taman Aman, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan memaklumkan asetnya berada dalam keadaan baik termasuk trak Tentera Darat Malaysia (TDM) dan tiada keperluan untuk menggantikannya dengan yang baharu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, susulan kemalangan yang mengorbankan tiga anggota tentera darat di Kilometer 75, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gurun, Kedah kelmarin, beliau dimaklumkan punca kejadian bukan disebabkan masalah trak tersebut. 

Sebaliknya, trak tentera berkenaan telah dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain.

“Kalau dilihat trak-trak itu dilanggar dari belakang. Jadi, tentunya kita memang perlu siasatan, kita tidak mahu buat kesimpulan tetapi ia dilanggar dari belakang. 

“Ketiga-tiga trak dalam perjalanan ambil anggota-anggota yang terlibat operasi, mereka konvoi dan dilanggar dari belakang. Tak ada isu masalah trak,” katanya selepas melakukan Lawatan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Taman Aman, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pihak kementerian masih belum menerima laporan Lembaga Siasatan Dalaman berkaitan kemalangan tersebut.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota-anggota terlibat dan bersabar dalam menerima ketentuan tersebut. 

“Kita tahu kemalangan ini sesuatu yang tidak terduga dan kita doakan pada arwah-arwah yang meninggal semoga mereka diletakkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan memaklumkan tiga anggota yang maut dalam kemalangan berlaku pada pukul 10.45 pagi itu ialah Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd. Asri Idris dan Lans Koperal Mohd. Hafiz Haris.

Tiga anggota dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak itu berkonvoi melibatkan tiga kenderaan  menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Sebuah kenderaan dalam konvoi berkenaan mengalami kerosakan dan mereka terpaksa berhenti di sebelah laluan kiri lebuh raya, sebelum dirempuh oleh sebuah treler. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN