Syabu harga  RM3.2 juta ditemui terbiar di laluan keselamatan  - Utusan Malaysia

Syabu harga  RM3.2 juta ditemui terbiar di laluan keselamatan 

Sebahagian bungkusan teh cina mengandungi syabu dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta ditemukan di laluan keselamatan PB19, Padang Besar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Dadah syabu seberat 98.3 kilogram bernilai kira-kira RM3.24 juta ditemukan dalam lima bungkusan plastik berwarna hitam terbiar di laluan keselamatan PB19 Padang Besar, di sini, Isnin lalu.

Dadah itu ditemui pada  kira-kira pukul 3 pagi ketika sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak, sedang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di laluan keselamatan.

Dadah tersebut disyaki dibawa masuk menggunakan laluan tikus melalui lubang pagar sempadan di Padang Besar yang dipotong.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, susulan itu, polis melakukan pemantauan dan pemerhatian tiga jam di lokasi terlibat namun tiada sebarang pergerakan individu menghampiri plastik-plastik tersebut.

“Polis kemudian  merampas semua plastik hitam berkenaan dan dibawa ke Subtek Kompeni B (PIP) Padang Besar untuk pemeriksaan. 

“Hasil siasatan menemui 93 paket teh Cina berwarna kuning tertera tulisan Guan Yin Wang dan mengandungi serbuk putih disyaki syabu dengan anggaran berat 98.3 kilogram,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan boleh digunakan oleh sekitar 400,000 penagih.

“Dadah-dadah yang dirampas ini juga dipercayai untuk pasaran Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak digantung akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN