PORT DICKSON: Seorang wanita yang juga suri rumah di sini kerugian sebanyak RM115,000 selepas terpedaya dalam urusan pelaburan Bitcoin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pada 26 Januari lalu lebih kurang pukul 5.34 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah dimaklumkan berkenaan aduan daripada mangsa seorang wanita warga tempatan berusia awal 60-an.
Jelas beliau, wanita itu menyatakan telah diperdaya dalam urusan pelaburan Bitcoin selepas berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Wong How Dong berkenaan pelaburan berkenaan melalui platform Accerx.
Kata beliau, mangsa mengetahui mengenai platform Accerx itu setelah melihat iklan di Facebook.
“Mangsa telah membuat enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian kepada lima akaun yang berbeza dari tarikh 19 Disember 2023 sehingga 12 Januari 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM115,000 bagi tujuan modal pelaburan menggunakan wang simpanan.
“Wanita itu kemudiannya mendapati pulangan pelaburan telah dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Accerx milik mangsa namun gagal dikeluarkan kerana masih perlu membuat pembayaran tambahan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Aidi Sham berkata, mangsa kemudian menyedari telah diperdaya dan telah membuat laporan polis.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut,” katanya.










