KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah bernilai RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selesai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, kertas siasatan tersebut dalam proses semakan terakhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Siasatan (KFA) telah siap dan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya kami dan sedang dalam kajian mereka.
“Kita (SPRM) belum hantar ke peringkat AGC tetapi dalam peringkat pendakwaan SPRM,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali ke-10 di WTC, di sini hari ini.
Ditanya, adakah SPRM mencadangkan pendakwaan terhadap mana-mana individu, Azam enggan mengulas lanjut.
“Perkara itu akan dimaklumkan pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron dan tiga individu berusia antara 40 hingga 60 tahun direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.
Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.
Rentetan itu, Zulkifli dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM pada 4 Januari lalu.- UTUSAN










