Serbuk ekstasi warna coklat, taktik kaburi pihak berkuasa - Utusan Malaysia

Serbuk ekstasi warna coklat, taktik kaburi pihak berkuasa

M. KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan serbuk ekstasi berwarna coklat yang dirampas dalam sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah bereksperimentasi menjadikan serbuk ekstasi yang kebiasaannya berwarna putih menjadi coklat seakan-akan serbuk koko bagi mengaburi pihak berkuasa.

Sindiket itu turut membungkus dadah tersebut ke dalam paket pelbagai serbuk minuman berperisa seperti teh, kopi dan perisa buah-buahan sebelum diedarkan.

Walau bagaimanapun, sindiket yang beroperasi sejak Julai tahun lalu tumpas juga apabila lima lelaki  berusia antara 17 hingga 31 tahun berjaya ditahan dalam dua serbuan di dua rumah sewa di sekitar Iskandar Puteri, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam operasi pukul 4 hingga 4.30 pagi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.81 juta, termasuk lapan balang berisi serbuk ekstasi yang menyerupai serbuk koko berwarna coklat.

“Rampasan dadah itu melibatkan serbuk ekstasi 368 paket seberat 23.68 kilogram (kg) bernilai RM1,738,420 dan lima paket ketamin seberat 997.40 gram (g) bernilai RM59,724,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas  tiga paket ganja seberat 193.50g bernilai RM1,935, sebanyak 1,490 biji pil Eramin 5 bernilai RM11,920 dan 41 biji pil ekstasi bernilai RM902.

Kumar memberitahu, jumlah rampasan dadah berjumlah RM1,812,901 itu boleh digunakan seramai 85,658 penagih.

“Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah teres yang disewa sebagai stor penyimpanan dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis ketamin, manakala hasil semakan rekod lampau mendapati tiga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut menyita dua buah kereta bernilai RM25,000.

Semua suspek direman selama seminggu bermula 30 Januari hingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya