JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menahan seramai 181 individu termasuk tiga wanita warga asing dalam 23 serbuan sempena Op Limau.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan antara 5 sehingga 15 Februari lalu
sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi mengekang aktiviti perjudian, sama ada dianjurkan oleh individu atau sindiket yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan.
“Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Johor menahan 181 individu yang terdiri daripada 136 lelaki dan 37 wanita tempatan, lima lelaki dan tiga wanita warga asing.
“Perjudian ang biasanya dilakukan di dalam dan luar bangunan ini merangkumi judi tradisional dan judi yang diubah suai.
“Antaranya, pai kaw, cho atai tee, daun terup, labi, see kee pee, poker dan lain-lain perjudian yang disenaraikan dalam jadual pertama Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar memberitahu, dalam operasi sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM162,533.59 dan pelbagai peralatan perjudian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. – UTUSAN










