RUU 355 dibentang semula

RUU 355 dibentang semula

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 kini berada di peringkat akhir libat urus sebelum boleh dibawa ke Kabinet dan seterusnya dibentangkan ke Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, libat urus berkenaan melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua pemegang taruh termasuk majlis agama Islam negeri-negeri.

Katanya, selepas proses ber­kenaan diselesaikan, satu laporan akan disediakan untuk dibincankan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan bawa semula cada­ngan RUU 355 kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya selepas Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 di Tasik Titiwangsa di sini semalam.

Penggubalan semula Akta 355 itu hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 dan dilihat akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Mengulas kritikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa negara Islam hilang integriti kerana mengekalkan undang-undang penjajah, Na’im meminta semua pihak menghormati titah Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menurutnya, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah meminta semua pihak menghormati termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Nik Elin Nik Abdul Rashid.

Sementara itu, Mohd. Na’im menjelaskan cadangan penubuhan Jabatan Penguatkuasaan Syariah di setiap negeri bertujuan siasatan dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan dilakukan tidak dipengaruhi sebarang pengaruh eksekutif.

Katanya, unit penguatkuasaan sedia ada terletak sebagai salah satu unit atau bahagian di bawah Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

“Jadi, unit ini berada di bawah jabatan eksekutif, saya sudah jelaskan semalam untuk memastikan pengukuhan sistem kehakiman syariah boleh dicadangkan supaya bahagian penguatkuasaan di bawah kuasa eksekutif jabatan agama islam negeri-negeri dibawa keluar.

“Sebab kita nak pastikan supaya siasatan yang dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan yang dilakukan tidak dipengaruhi oleh sebarang pengaruh eksekutif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×