TEMERLOH: Rumah pusaka berusia hampir 100 tahun di tepi jalan di Kampung Haji Ali Batu 1 di sini mendapat perhatian ramai kerana keunikan ciri tradisi Melayu Pahang-Riau masih terpelihara pada reka bentuk binaannya.
Rumah berkenaan yang kini didiami Idham Khalid Ramli dan isterinya, Rosnita Abdullah serta tiga anak dibina oleh Allahyarham Taib Abdullah, iaitu datuk kepada Idham Khalid sebelum diwarisi bapanya, Ramli Taib.
Taib Abdullah adalah seorang peniaga berasal dari Riau, Indonesia berhijrah ke Tanah Melayu sekitar 1890-an dan menetap di Kuala Semantan di sini.
Dia dipercayai peneroka asal Kampung Haji Ali Batu 1, membina rumah itu pada 1936 dengan nilai harga RM2,000 ketika itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang waris, Anisah Ramli, 62, berkata, rumah pusaka itu diserahkan kepada Idham Khalid yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik yang lahir dan membesar di rumah berkenaan.
BUDAYA
Beliau berkata, antara keistimewaan rumah pusaka itu, ia dibina mengikut ciri budaya beratap genting rumah Melayu Pahang-Riau dan menggunakan pasak tanpa paku.
“Terdapat ukiran di sekeliling tingkap, pintu dan dinding manakala tangga rumah terletak pada bahagian tengah rumah dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.
“Lebih menarik rumah tersebut tidak pernah ditenggelami air walaupun seluruh bandar Temerloh tenggelam dalam banjir besar sekitar 2021 dan 1971,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Anisah berkata, berdasarkan cerita arwah ayahnya, rumah berkenaan mempunyai 12 tiang utama diperbuat daripada kayu cengal atau merbau dibawa menggunakan tenaga kerbau.
Jelasnya, bentuk rumah yang seolah-olah tanjak menjadi daya tarikan orang ramai dan pelancong yang sering singgah untuk bergambar di depan rumah.
Beliau berharap pihak kerajaan dapat mengambil inisiatif memelihara dan memulihara rumah itu kerana dipercayai rumah pertama dibina di Kampung Haji Ali Batu 1.
“Penyanyi terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang tinggal berhampiran kampung ini sering datang ke rumah ini sekitar awal 1970an untuk membaca kerana arwah ayah ada mini perpustakaan yang banyak koleksi buku,” katanya. – UTUSAN










