MELAKA: Pemain industri pelancongan menerima ‘durian runtuh’ apabila memperoleh sebanyak RM6 juta pulangan daripada kunjungan 160,000 pelancong sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68, Selasa lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sektor perhotelan mendapat tempias paling tinggi kerana ramai pengunjung dari luar negeri menginap di hotel berdekatan dengan 11 produk pelancongan yang menawarkan kemasukan secara percuma.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.6 juta bagi kemasukan percuma berkenaan.
Beliau berkata, pada hari itu peningkatan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara meningkat kira-kira 50 peratus sejak Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dilancarkan 1 Januari lalu.
“Antara tempat yang mencuri perhatian pengunjung adalah di Zoo Melaka yang menerima 30,510 orang, Melaka River Cruise (8,436) dan Taman Tema Melaka Wonderland (7,752).
“Paling menakjubkan apabila lebih 11,371 orang melawat Muzium Penjara di Banda Hilir.
“Saya turut meminta maaf kepada mereka yang tidak dapat memasuki 11 produk pelancongan itu kerana kehadiran terlalu ramai di luar jangkaan. Program ini dibuat berkonsepkan siapa cepat dia dapat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Dataran Pengkalan Rama di sini, semalam.
Ketika ditanya adakah program kemasukan percuma itu akan dijadikan acara tahunan, Ab. Rauf berkata, perkara tersebut memerlukan kajian terperinci.
“Kita belum menentukan, kalau hendak buat tiap-tiap tahun kena buat kajian terperinci kerana ia melibatkan banyak lokasi dan pelbagai aspek yang perlu diambil kira,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasar terapung di Pengkalan Rama bakal melibatkan 30 bot dan 100 kios yang akan dilancarkan April ini. – UTUSAN









