KOTA TINGGI: Sebanyak RM100,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi menaik taraf kelajuan internet di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kemudahan internet percuma itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penuntut kolej berkenaan, sekali gus mampu memberi impak terhadap kualiti pembelajaran mereka.
Peruntukan itu bagi menambah berkelajuan internet daripada 200 megabit per saat menjadi satu gigabit sesaat.
“Langkah ini adalah kemudahan yang akan dimanfaatkan oleh seluruh warga KYPJ dengan kemudahan internet percuma berkelajuan tinggi yang akan memberi impak terhadap kualiti pembelajaran dan inovasi pendidikan di KYPJ.
“Projek-projek menaik taraf menara telekomunikasi di kolej berkenaan akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Kampus KYPJ, hari ini.
Katanya inisiatif tersebut juga selari dengan misi kerajaan negeri yang mahu menaik taraf KYPJ menjadi sebuah universiti menjelang 2025.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, lawatan itu adalah pertama baginya selepas dilantik sebagai Exco kerana KYPJ merupakan kolej yang 100 peratus milik kerajaan negeri.
“Fokus utama saya pada masa ini adalah ingin menaik taraf dan memperkasakan kualiti KYPJ ini sebagai institusi pendidikan yang unggul.
“Saya juga akan menstruktur dan menyediakan pelan jangka masa panjang agar KYPJ menjadi pilihan utama anak-anak Johor selain universiti awam yang lain.
“Saya akan bekerjasama erat dengan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) agar segala perancangan fasiliti dan infrastruktur kolej ini dapat digunakan dengan baik. FasilitI dan infrastruktur akan dinaik taraf agar seluruh warga KYPJ dapat menikmatinya dengan selesa,” katanya. – UTUSAN










