KOTA TINGGI: Tiada gerakan untuk menggulingkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya didalangi ketua-ketua bahagian parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bukan sahaja menafikan perkara itu, bahkan jika terdapat gerakan dengan cara menandatangani surat oleh ketua bahagian, usaha itu tidak akan terhasil.
“Surat kalau ‘sign’, presiden tidak akan terguling. Jadi, buat apa hendak ‘sign-sign’. Hari ini ada perjumpaan ketua bahagian dan presiden untuk jelaskan mengenai isu-isu semasa, khususnya mengenai keputusan Lembaga Pengampunan melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
“Kita pun tahu bahawa UMNO Malaysia, Majlis Tertinggi telah bermesyuarat dan mesyuarat telah buat keputusan untuk pastikan Datuk Seri Najib dapat keadilan sebenar dan berharap soal hukuman dikenakan itu akan dapat dipertimbangkan dengan sebaik yang mungkin oleh Lembaga Pengampunan,” katanya selepas melakukan Lawatan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Taman Aman, di sini hari ini
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan turut menafikan dakwaan terdapat usaha menggulingkan Ahmad Zahid oleh ketua-ketua bahagian parti itu.
Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah berusaha sebaiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang berkata, Lembaga Pengampunan adalah hak mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO memahami dan mengakui ia (Lembaga Pengampunan) adalah kuasa mutlak budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Walau pun ada ribut dan desakan berlaku, ia di luar apa yang kita boleh lakukan. UMNO menerima dan menghormati keputusan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










