Polis Kelantan berkas 15 lelaki leka judi ayam melalui siaran langsung

Polis Kelantan berkas 15 lelaki leka judi ayam melalui siaran langsung

MUHAMAD Zaki Harun (kanan) menunjukan televisyen dan buku yang dirampas melibatkan kes pertaruhan judi laga ayam semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan memberkas 15 lelaki termasuk pemilik sebuah kedai makan di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok di sini selepas leka membuat pertaruhan judi ayam melalui siaran langsung menerusi televisyen dan telefon bimbit semalam.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 74 tahun itu ditahan menerusi Op Limau yang dilakukan sepasukan anggota pada pukul 3.30 petang selepas membuat intipan selama 15 minit.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil intipan yang dijalankan pihaknya mendapati sekumpulan lelaki berkumpul di premis berkenaan dan dipercayai sedang menonton siaran langsung laga ayam dari negara jiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, anggota bertugas kemudian melakukan serbuan dan menahan kesemua suspek yang ketika itu sedang leka membuat petaruhan judi tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan satu unit televisyen, alat kawalan jauh, decoder dan buku mengandungi rekod pertaruhan laga ayam.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM628,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua suspek itu membuat pertaruhan bermula RM2 hingga RM20.

Katanya, siaran secara langsung melibatkan laga ayam itu disiarkan setiap hari bermula pukul 3 hingga 5 petang.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

“Orang awam dinasihatkan supaya jangan melibatkan diri dalam perjudian atau pertaruhan haram dan jika ada sebarang maklumat berkaitan kegiatan tersebut sila berhubung dengan pihak kami di talian 09-7455555,” katanya-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×