BENTONG : Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Kontinjen Pahang menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun ketika berehat di dalam kereta di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika serbuan pada pukul 2.05 petang semalam polis turut menemukan satu beg di dalamnya mengandungi sepuluh paket plastik berisi serbuk dan ketulan warna keperangan disyaki dadah jenis heroin.
“Ketika pemeriksaan, polis turut merampas sejumlah 4,565 gram dadah disyaki jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM 37,889 dan dipercayai boleh digunakan oleh seramai 2,240 orang penagih dadah.
“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sebanyak sepuluh kali dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sebanyak lapan kali,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bentong di sini hari ini.
Menurut Zaiham, penahanan suspek lelaki itu di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujarnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah di sekitar Bentong boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09- 2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.











