Pesara, pekerja kilang rugi hampir RM1 juta terpedaya pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Pesara, pekerja kilang rugi hampir RM1 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

AHMAD ZAMRY Marinsah (tengah) menunjukkan iklan pelaburan tidak wajud dalam talian Accerx.com yang memperdaya dua lelaki sehingga kerugian hampir RM1 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Dua lelaki termasuk seorang pesara kerajaan mengalami kerugian hampir RM1 juta ekoran terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima aduan daripada dua mangsa tersebut dua pada awal dan hujung bulan lalu, yang terpedaya dengan pelaburan dalam laman talian Accerx.Com.

“Mangsa pertama lelaki warga emas berusia 71 tahun memaklumkan dia melayari laman sosial pada awal Januari lalu dan tertarik dengan pelaburan menawarkan pulangan tinggi. Mangsa menekan pautan diberikan dan berurusan dengan suspek hanya menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Dia seterusnya memuat turun aplikasi seperti diarahkan dan mendaftar masuk bagi melihat dan memantau pergerakan pelaburan serta keuntungan yang diperoleh. Mangsa turut dikehendaki membuat pelaburan besar sekiranya mahu mendapatkan  keuntungan lebih lumayan.

“Oleh kerana percaya dan mahu mendapatkan keuntungan tinggi, mangsa membuat 20 kali transaksi pembayaran berjumlah RM498,200 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Superintenden Ng Swie Chait.

Ahmad Zamry berkata, mangsa menyedari tertipu selepas tidak menerima pulangan sehingga kini dan diarahkan membuat pelbagai bayaran lain.

“Mangsa kedua lelaki berusia 51 tahun merupakan kakitangan sebuah kilang pula memaklumkan melayari laman sosial Accerx.Com pada hujung bulan lalu dan tertarik dengan iklan pelaburan memberi pulangan lumayan.

“Modus operandi suspek juga sama, hanya berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan  memberikan butiran diri serta dipaparkan jumlah keuntungan ditawarkan.

“Mangsa dimaklumkan yang pelaburannya diluluskan, namun sebelum wang keuntungan itu dibayar, mangsa dikehendaki membuat pelbagai bayaran dan sebagainya jika tidak mahu wang pokok pelaburan hangus,” katanya sambil memberitahu mangsa telah membuat lebih lima transaksi berjumlah RM421,104 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan termasuk menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN