Perhimpunan Bersih: `PH seperti tutup mata, pekakkan telinga’ - Utusan Malaysia

Perhimpunan Bersih: `PH seperti tutup mata, pekakkan telinga’

Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya dan Bersih (Bersih) berikutan kerajaan PH didakwa tidak menunaikan janji dan manifesto gabungan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh menyalahkan tindakan agresif beberapa pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya dan Bersih (Bersih) berikutan janji yang tidak dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Lawyers of Liberty, Zaid Malek berkata, tindakan kerajaan hari ini adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan  sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. 

Menurut beliau, penubuhan kerajaan hari ini adalah atas semangat yang dibawa oleh suara di peringkat akar umbi kerana menginginkan reformasi dalam negara seperti yang turut diperjuang PH sebelum gabungan itu menjadi kerajaan.  

“Rakyat pada hari ini telah berhimpun untuk menuntut reformasi sejak pasca Pilihan Raya Umum (PRU15). 

“PH pada waktu ini seolah-olah menutup mata, memekakkan telinga’ suara rakyat dan banyak lagi yang dijanjikan tapi tidak ditunaikan,” katanya ketika dihubungi. 

Semalam, kira-kira 100 peserta Himpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus anjuran Bersih  berarak ke bangunan Parlimen. 

Mereka menyuarakan beberapa tuntutan bagi mendesak melaksanakan reformasi seperti dijanjikan. 

Antara tuntutan termasuk berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan sebarang maklumat sebagai rahsia rasmi, lantas tidak boleh didedahkan. 

Sebelum ini juga, akhbar ini turut melaporkan bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, beberapa isu penting perlu menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan termasuk hal-hal berkaitan dengan hak asasi seperti kebebasan bersuara. 

Antara janji lain dalam manifesto PH adalah semua pelantikan pesuruhjaya SPRM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman yang dilaksanakan mengikut budi bicara Perdana Menteri, perlu diluluskan Parlimen. 

Selain itu  pemansuhan tol, menghapuskan hutang tidak wajar yang dikenakan ke atas peneroka dan Skim Kesihatan dengan memberi pembiayaan RM500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40

Oleh  itu, Zaid  berpendapat ramai yang bangkit menentang dengan langkah-langkah kerajaan dalam membuat pelbagai keputusan, namun turut tidak diendahkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN