Pengislaman 3 kanak-kanak: MAIPs mohon kebenaran merayu

Pengislaman 3 kanak-kanak: MAIPs mohon kebenaran merayu

LOH Siew Hong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pengislaman tiga kanak-kanak yang dilakukan oleh bapa mereka secara sebelah pihak.

Menurut kenyataan oleh firma guaman, Tetuan Chambers of Zainul Rijal semalam, permohonan tersebut difailkan pada 8 Februari lalu.

Pada 10 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan pengislaman tiga kanak-kanak yang dibuat secara unilateral (sebelah pihak) oleh bapa mereka, M. Nagahswaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy tanpa kebenaran bekas isterinya, Loh Siew Hong adalah tidak sah dan terbatal.

Dengan keputusan tersebut, agama bagi pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kekal sebagai Hindu. Ketika ditukar agama, anak-anak tersebut masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun.

Berdasarkan notis usul yang difailkan, MAIPs memohon kebenaran tersebut dengan mengemukakan beberapa persoalan berhubung perlembagaan dan undang-undang.

Antara persoalan yang ditimbulkan adalah berhubung kedudukan perlembagaan berkaitan hak tukar agama anak bawah umur terletak sama ada pada salah seorang iaitu ibu atau bapa atau kedua-dua sekali ekoran kewujudan penggunaan istilah `parent’ (ibu atau bapa) dan parents (ibu dan bapa) yang ditemukan secara berselang seli dalam Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Inggeris.

Selain itu, MAIPs membangkitkan persoalan sama ada keputusan dalam kes guru tadika, Indira Gandhi hanya tertakluk kepada negeri tertentu sahaja atau terpakai di seluruh Malaysia.

Dalam kes Indira, Mahkamah Persekutuan pada Januari 2018 memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

Dalam kes Siew Hong, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini selepas mendapati terdapat salah arah yang ketara dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika mengekalkan status Islam kanak-kanak berkenaan.

Pada 11 Mei 2023, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati ketiga-tiga anak Siew Hong masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka.

Wanita terbabit memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya agar tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN