KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP mempersoal sekiranya wujud ‘sekatan’ yang memperlahan pentauliahan dan pengiktirafan pakar bedah kardiotorasik.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, negara ketika ini menghadapi krisis kekurangan pakar bedah selain terdapat satu usaha yang memperlahan keupayaan sistem kesihatan dalam negara.
Katanya, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga kelihatan seperti menggunakan Akta Perubatan 1971 yang dipinda pada 2012 dan berkuat kuasa 2017 untuk menyekat Laluan Sejajar (Parallel Pathway) iaitu laluan bagi pengiktirafan pegawai perubatan menjadi doktor pakar.
“Jika ini isu yang membelenggu Kementerian Kesihatan, saya mahu kementerian memperkasa semula latihan Laluan Sejajar yang membolehkan pendaftaran pakar ke dalam Daftar Pakar Perubatan Negara supaya isu kekurangan pakar bedah boleh ditangani.
“Untuk makluman, pengiktirafan sebagai pakar bedah kardiotorasik diperoleh melalui dua laluan melalui Laluan Sejajar di hospital dan diuji serta ditauliah oleh badan bertaraf antarabangsa dan digunakan bertahun-tahun di Malaysia.
“Laluan kedua ialah pengiktirafan daripada universiti tempatan melalui program pascaijazah,” katanya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau sebelum itu membangkitkan isu penubuhan pusat kardiotorasik di Ipoh yang masih belum ada perkembangan terkini yang menjurus kepada persoalan lain lebih kritikal iaitu kekurangan pakar bedah kardiotorasik.
Katanya, pusat kardiotorasik itu sudah dalam perancangan manakala Kementerian Kesihatan (KKM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah membuat lawatan tapak di Tingkat 5, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak.
“Namun, kami belum dimaklumkan apa-apa lagi tentang perkembangannya. Saya mewakili seluruh warga Ipoh, sering bertanya apakah punca keterlewatan yang semakin menggusarkan pesakit kardiotorasik?
“Adakah peruntukan tidak mencukupi untuk penubuhannya atau sistem kesihatan negara sedang menghadapi kekurangan pakar bedah kardiotorasik?,” soalnya. – UTUSAN











