Pemimpin DAP digesa henti kunci mulut

Pemimpin DAP digesa henti kunci mulut

ONG KIAN MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin DAP digesa menyatakan pendirian mereka semula secara jelas terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming berkata, DAP tidak seharusnya secara terus mengambil pendekatan berdiam diri dalam beberapa isu penting.

Kata beliau, pengurangan hukuman yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan disebabkan kompromi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menenangkan penyokong bekas Perdana Menteri keenam tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kepimpinan DAP mesti mengulangi pendirian mereka terhadap kes korupsi terbesar dalam sejarah negara, skandal 1MDB yang dijadikan sebagai bahan kempen dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018 dan 2022.

“Ini mesti termasuk dengan pendirian tegas terhadap kes 1MDB yang sedang dibicarakan dan dihadapi oleh Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu media melaporkan, Lembaga Pengampunan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 ke enam tahun dan denda perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sementara itu, Kian Ming berkata, DAP turut perlu menyatakan pendirian mereka mengenai siasatan yang dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

“Kepimpinan DAP tidak sepatutnya melupakan usaha yang dilakukan oleh Tony untuk membangkitkan skandal 1MDB semasa beliau menjadi ahli Parlimen.

“Tanpa sumbangan Tony, kita mungkin tidak dapat mengalami perubahan kerajaan pada 2018 dan Najib tidak akan didakwa,” katanya.

Untuk rekod, Tony yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP akan hadir ke Bukit Aman, petang ini untuk memberi keterangan selepas didakwa mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja berhubung pengurangan hukuman ke atas Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×