Pembangkang belum jawab jemputan sertai KEB 2024 - Utusan Malaysia

Pembangkang belum jawab jemputan sertai KEB 2024

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti-parti pembangkang belum memberi jawapan sama ada akan hadir ke Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Asyraf berkata, pihaknya telah menghantar jemputan melalui surat rasmi kepada pemimpin-pemimpin pembangkang  Perikatan Nasional (PN).

“Surat jemputan sudah dihantar cuma saya belum ada makluman terkini. Tetapi nanti saya akan buat satu lagi kenyataan penuh berkaitan perkara ini,” katanya ketika sidang media Simposium KEB 2024 di Hotel Premiera di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan  akan menganjurkan KEB 2024 yang  melibatkan semua kaum bumiputera  termasuk Orang Asli.

KEB 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dianjurkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk merangka hala tuju dan pendekatan yang lebih iklusif bagi memperkasakan bumiputera secara adil dan saksama.

Menurut beliau, kongres akan bermula dengan amanat hala tuju  Pengerusi Sekretariat, Ahmad Zahid, kemudian diteruskan dengan pembentangan mengenai status terkini daripada pelbagai aspek oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum dipecahkan kepada perbincangan 10 kluster.

“Turut diadakan siri-siri diskusi Madani yang melibatkan pelbagai kumpulan pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penjaja dan lain-lain.

“Kongres ini juga melibatkan pemimpin parti-parti politik untuk membincangkan isu ekonomi bumiputera dari perspektif negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya teruja apabila MARA diberi tanggungjawab sebagai sekretariat untuk dua kluster iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan serta Daya Saing Perusahaan Bumiputera menerusi Simposium KEB kali ini.

Katanya, kedua-dua kluster tersebut  antara yang terpenting daripada 10 kluster keseluruhan sebelum segala rumusan pandangan diangkat sebagai resolusi di KEB minggu hadapan.

“Ini juga merupakan platform terakhir selepas kluster-kluster tersebut mengadakan sesi libat urus di seluruh negara selama lebih daripada dua bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×