Pemandu lori dipenjara enam bulan, ugut cederakan ibu, isteri dan anak - Utusan Malaysia

Pemandu lori dipenjara enam bulan, ugut cederakan ibu, isteri dan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu, isteri dan anak lelakinya kelmarin.

Tertuduh, Azrul Abd Rahman, 36, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah dengan mahu mencederakan ibu, isteri dan anak lelakinya menggunakan parang dan perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah rumah di Felda Palong. 

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman penjara.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, seorang lelaki bukan sahaja bertindak menyembur arak di kepala ibunya malah mengugut mahu mencederakan ibu, isteri dan anak lelakinya menggunakan pisau serta parang. 

Kejadian itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berusia 58, 32 dan 12 tahun itu berada dalam bilik. Sebaik suspek keluar, isterinya segera mengunci pintu bilik tersebut menggunakan selak pintu.

Beberapa minit kemudian suspek datang semula di hadapan pintu bilik dan mengugut akan mencederakan sesiapa yang keluar daripada bilik tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN