Pasport Muhyiddin dikembalikan sementara untuk ke Bangkok - Utusan Malaysia

Pasport Muhyiddin dikembalikan sementara untuk ke Bangkok

Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mendengar permohonan mendapatkan pelepasan pasport secara sementara. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memulakan perjalanan ke Bangkok, Thailand minggu depan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pelepasan pasportnya untuk menziarahi rakan perniagaan dan menghadiri majlis perasmian restoran milik seorang kenalan rapat di negara itu.

Pasport beliau kini dalam simpanan pihak mahkamah sebagai syarat jaminan ekoran tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan lebih RM200 juta yang dihadapinya.

Hakim Azura Alwi memerintahkan pasport itu dilepaskan secara sementara bermula hari ini dan dikembalikan pada 23 Februari ini.

Ketika menyampaikan keputusannya, Azura berkata, mahkamah bersetuju tujuan utama jaminan diberikan adalah untuk memastikan kehadiran pemohon ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan ke atasnya.

Ujar hakim itu, antara tujuan pasport ditahan adalah untuk mengenakan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.

Beliau bersetuju walaupun tujuan ke Bangkok bukan keperluan mendesak, mahkamah mempunyai budi bicara yang luas dan boleh digunakan setelah mengambil kira dan mempertimbangkan segala keadaan dalam sesuatu kes.

“Meskipun pemohon dikenakan sekatan dan syarat jaminan, namun beliau tidak wajar dihalang daripada menjalani kehidupan dan tanggungjawabnya seperti biasa selagi mana beliau tidak disabitkan dan didapati bersalah bagi pertuduhan terhadap dirinya.

“Mahkamah juga mendapati tiada bukti pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” ujar Azura ketika mengggariskan alasannya membenarkan permohonan Muhyiddin.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin agar pasport itu dipulangkan melalui peguamnya untuk memudahkan pihak-pihak.

Muhyiddin, 76, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan permohonan itu pada 31 Januari lalu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah menempah tiket perjalanan untuk bertolak ke Bangkok pada 15 Februari ini ditemani isteri dan dijadual pulang pada 21 Februari.

Terdahulu, Amer Arshad berhujah, pemergiaannya ke Bangkok untuk mengeratkan hubungan dengan rakan perniagaan selain menghadiri perasmian restoran milik seorang kenalan rapat di sana.

Pada prosiding itu, pasukan pendakwaan membantah permohonan tersebut atas alasan tiada sebab munasabah yang mewajarkan mahkamah membenarkan pelepasan pasport berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noralis Mat berhujah, alasan yang dikemukakan adalah remeh, tidak mendesak dan kabur dan jika dibenarkan akan menyusahkan pihak-pihak.

Hujah beliau, meskipun mahkamah mempunyai budi bicara untuk melepaskan pasport secara sementara, ia harus dibenarkan secara munasabah.

Sementara TPR Zander Lim Wai Keong dalam afidavit bagi membantah permohonan itu menyatakan, pada tarikh itu (15 Februari), mahkamah dijadual mendengar permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan AMLA yang dihadapinya.

“Selain permohonan membatalkan pertuduhan, pada tarikh itu, mahkamah juga dijadual mendengar permohonannya untuk menangguhkan prosiding perbicaraan yang mana beliau diwajibkan hadir.

“Perkara ini diketahui oleh Muhyiddin namun beliau masih membuat tempahan tiket penerbangan untuk bertolak pada hari yang sama,” ujar Zander dalam afidavit sokongan yang difailkan pada 2 Februari lalu.

Menurut beliau, alasan Muhyiddin untuk mengeratkan silaturrahim dengan kenalan dan menghadiri perasmian restoran `Phrigkiao’ bukan keperluan mendesak.

Zander selanjutnya menyatakan, pemohon masih berhadapan tiga pertuduhan AMLA, oleh yang demikian risiko beliau melarikan diri masih wujud.

Ujarnya, pemohonan itu hanya bertujuan untuk mengganggu proses pendengaran kedua-dua permohonan yang telah ditetapkan pada 15 Februari ini.

Dalam afidavit sokongannya, Muhyiddin turut menyatakan, beliau mempunyai sahabat dan kenalan di Thailand dan selalu menziarahi mereka bersama keluarga setiap tahun. Ujar beliau, sejak dikenakan pertuduhan, pihaknya terhalang untuk melakukan lawatan ke negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN