ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri warga emas cedera dalam kejadian samun oleh empat lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu, Simpang Ampat di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 60-an cedera pada bahagian belakang manakala isterinya, 70-an, cedera di bahagian tangan dan dirawat di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Arshad Abu berkata, anggota Balai Polis Simpang Ampat dan Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka bergegas ke lokasi kejadian sejurus laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 11.40 malam.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan kereta jenis Honda City warna perak dan nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dipastikan.
“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian menemukan seorang lelaki sedang bersembunyi di dalam semak di tepi sebuah rumah kosong terletak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa. Berlaku pergelutan semasa hendak menahan lelaki tersebut.
“Polis kemudian menjumpai satu beg pakaian milik mangsa dan bertindak merampas pakaian serta senjata digunakan suspek ketika samun. Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk reman dan soal siasat,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai 17 rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah lampau selain positif dadah jenis syabu.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun itu bersama tiga lagi yang masih bebas. Polis sedang giat mengesan kesemua suspek.
“Kes diklasifikasikan sebagai samun bersenjata dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










