PETALING JAYA: Suami isteri yang ditahan selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air syabu di sebuah flat di Taman Medan di sini pada 19 Februari lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar @ Ismail berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 40 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen pukul 9 pagi.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan suami isteri ‘lalok’ ditahan selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air syabu di sebuah flat di Taman Medan di sini pada 19 Februari lalu.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu dihantar suami isteri berkenaan kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.
Katanya, semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal sebelum dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada ibu mangsa.
Jelas beliau, ibu mangsa kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya. – UTUSAN











