PARLIMEN: Undang-undang jenayah syariah negeri lain sah selagi tidak dicabar - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Undang-undang jenayah syariah negeri lain sah selagi tidak dicabar

ZULKIFLI Hasan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. - Foto/Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di negeri-negeri  lain masih sah, berperlembagaan dan boleh dikuat kuasa selagi tidak dicabar dan diisytihar tidak sah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hanya 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, menurut beliau, status bagi akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah adalah kekal selagi tiada pihak yang memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang negeri. 

“Ia boleh dikuat kuasa selagi peruntukan-peruntukan (Perlembagaan) tersebut di negeri-negeri lain tidak dicabar dan tidak diisytihar sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan. Namun, adakah Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri-negeri untuk meminda undang-undang syariah di negeri?

“Apa yang boleh diputuskan, berdasarkan Fasal 2 Perkara 74, dan Butiran I Senarai II Senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

“Maka, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja adalah pihak berkuasa utama yang perlu dilindungi dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

MENGURUSKAN

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] mengenai langkah Kerajaan Persekutuan menguruskan undang-undang di peringkat negeri-negeri lain. 

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu memutuskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu. 

Panel sembilan hakim diketuai  Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan. 

Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.

Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikai itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen.

Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut.

Mengulas lanjut, menyorot kes Iki Putra Mubarak yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri, Zulkifli berkata, pada 2021, tiada campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan.

Katanya, hal sama juga berlaku dalam kes difailkan Nik Elin melibatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang mana Jabatan Peguam Negara (AGC) juga tidak mencelah.

“Maknanya ia satu tindakan konsisten oleh AGC memperlihatkan kepada keseluruhan perkara dan faktor yang ada pada hari ini….kena ingat pada 2021, (ketika itu Kerajaan Persekutuan) bukan kerajaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN