LIPIS: Usaha membawa keluar jenazah pendaki wanita, Zahalita Othman, 53, yang meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut memasuki hari ke tiga hari ini.
Timbalan Komander Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Subang, Penguasa Bomba Kanan 1 (Pgkb 1), Mohd. Ruzaidi Ramlee berkata, penerbangan bermula pukul 7.30 pagi dengan menaiki helikopter MI-171 Unit Udara JBPM.
“Semalam (Rabu) sekitar pukul 3.30 petang sekali lagi kita telah terbang ke lokasi namun sebaik tiba awan dan kabus tebal menghalang dalam jarak kira-kira 4,200 kaki.
“Justeru itu, kita tidak boleh menghantar pasukan penyelamat ekoran penglihatan terhad dan keadaan tidak mengizinkan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Ruzaidi berkata, diharapkan agar cuaca pada pagi ini baik sekali gus membantu pasukan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan jenazah mangsa.
Selasa lalu seorang pendaki wanita meninggal dunia di Gunung Reskit dekat Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira pukul 7.30 pagi dipercayai akibat sesak nafas.
Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jerantut menerima panggilan dari Ketua Balai Polis Merapoh pada pukul 12.45 tengah hari memaklumkan kematian membabitkan seorang wanita ketika mendaki gunung terbabit.
Difahamkan mangsa mengikuti program pendakian gunung itu 1 Februari lalu. – UTUSAN










