Negeri Sembilan teliti rumput sesuai ditanam di STAR Paroi - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan teliti rumput sesuai ditanam di STAR Paroi

MUSTAPHA Nagoor ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) Tahun 2024 di Centre Court, Kompleks Sukan Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang meneliti jenis rumput yang sesuai untuk ditanam bagi menggantikan rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) Paroi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, ia selepas kerajaan negeri ini menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran geran sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini bagi menaik taraf sistem saliran dan menanam rumput baharu bagi padang di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, fokus akan terlebih dahulu diberikan bagi menaik taraf sistem perparitan padang supaya ia dapat diselesaikan sebelum Liga Malaysia bermula pada bulan Mei depan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong itu lagi, kerajaan negeri sedang menunggu untuk geran tersebut disalurkan sebelum kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan.

“Insya-Allah geran tersebut akan disalurkan dalam masa terdekat dan fokus akan dimulakan dahulu bagi menaik taraf sistem perparitan padang dan ia dijangka dapat selesai sebelum Liga Malaysia bermula.

“Kemudian barulah kita fokus kepada penggantian rumput, kita akan lihat rumput yang sesuai dengan keadaan stadium, termasuk aspek pencahayaan, selepas itu sama ada kita menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia atau Bermuda ia akan diputuskan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) Tahun 2024 di Centre Court, Kompleks Sukan Paroi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberitahu, Negeri Sembilan antara tiga buah negeri yang telah memberikan maklum balas menerima tawaran geran berkenaan selain Terengganu dan Perak.

Terdahulu menurut beliau, geran RM500,000 ditawarkan KBS kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 dan RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu.

Sementara itu, Mustapha menambah, kerajaan negeri juga akan memohon kepakaran daripada pihak KBS untuk melihat dan memberikan pandangan apakah jenis rumput yang sesuai dan terbaik untuk ditanam di STAR.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN