N. Sembilan catat kemenangan sulung, tewaskan PDRM Blue Warriors - Utusan Malaysia

N. Sembilan catat kemenangan sulung, tewaskan PDRM Blue Warriors

PEMAIN PDRM Blue Warriors (jersi putih) melakukan asakan ke kubu Negeri Sembilan dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2 di Seremban petang tadi.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan memulakan kempen Liga Hoki Malaysia TNB 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan PDRM Blue Warriors 3-2 dalam perlawanan sulung di Stadium Hoki Seremban 2 di sini petang tadi.

Negeri Sembilan yang menyandang kejuaraan treble musim lalu tampil garang dengan gandingan yang diketuai pemain kebangsaan, Fazillah Sylvester Silin selepas bintang musim lalu, Nuramirah Shakirah Zulkifli berhijrah ke Malaysian University.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik wisel permulaan ditiupkan dalam usaha mendapatkan gol awal sebagai penyuntik semangat.

Pasukan tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 sebelum mendahului dengan jaringan Zaty Alyani Muhamad Zubir yang membuat larian solo dari tengah padang sebelum menewaskan penjaga gol PDRM Blue Warriors, Farah Ayuni Yahya.

Jaringan itu mendorong Negeri Sembilan menggandakan asakan yang membawa hasil dengan jaringan oleh Anith Humaira Baharudin pada minit ke-50 susulan pukulan sudut penalti.

Enggan mengalah, PDRM Blue Warriors mencari ruang merapatkan kedudukan. 

Pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol pertama melalui Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin pada minit ke-56.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan terus melebarkan jaringan kepada 3-1 selepas memperoleh pukulan stroke yang disempurnakan oleh Anith Humaira sekali lagi.

Ketika kedudukan seakan-akan tidak berubah, PDRM Blue Warriors menggunakan peluang pukulan sudut penalti pada minit akhir perlawanan untuk menjaringkan gol oleh Nur Aisyah Yaacob.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×