PONTIAN: Murid lelaki berusia 12 antara 11 remaja yang ditahan dalam Op Malam Minggu di sekitar Bandar Benut oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Pontian malam kelmarin atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen.
Turut ditahan 10 lagi pelajar berusia 14 hingga 17 tahun, termasuk dua orang yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, motosikal mereka turut disita kerana melanggar pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Berikutan aduan orang awam dalam media sosial, kita telah mengadakan Op Malam Minggu di sekitar Bandar Benut malam kelmarin dengan tumpuan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal.
“Antaranya, termasuk kesalahan pengubahsuaian ekzos yang mengganggu ketenteraman orang ramai apabila mereka membuat bising sehingga tengah malam dan awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Minggu lalu Facebook Geng Benut memaparkan seorang netizen melahirkan kekesalan dengan tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising dan membunyikan hon sehingga mengganggu lena mereka.
Mohammad Shofee berkata, hasil operasi tersebut, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 95 saman atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan tidak memasang nombor pendaftaran kenderaan.
Beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak yang menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen dan perlindungan insurans.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa dan penjaga yang membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen. Mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika melibatkan kemalangan maut,” tegasnya. – UTUSAN










