PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir memohon lanjutan 30 hari lagi untuk mengisytiharkan hartanya.
Azam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tempoh notis asal sepatutnya tamat pertengahan bulan ini.
“Mokhzani mengemukakan permohonan lanjutan tempoh pengisytiharan harta. Jadi, kita (SPRM) telah membenarkan tambahan 30 hari,“ katanya di sini.
Sabtu lalu, abang kepada ahli perniagaan itu, Mirzan Mahathir juga diberikan tempoh 30 hari lagi bagi membolehkan beliau mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Lanjutan itu bagi mengisytiharkan harta termasuk aset alih dan tidak alih dimiliki ahli perniagaan itu. Pada 26 Januari lalu, Mokhzani hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Mokhzani diberikan satu perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara.
Siasatan SPRM dilakukan di bawah Akta SPRM (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Siasatan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.
Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri.
Pada 17 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan anak kedua kepada seorang Perdana Menteri dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.
SPRM dalam kenyataan pada 18 Januari lalu mengesahkan telah memanggil Mirzan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9.39 pagi.
Satu perintah notis disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset dalam tempoh 30 hari. Perintah itu adalah tindakan lanjutan siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UTUSAN










