Malaysia terus ketinggalan hasil penyelidikan?

Malaysia terus ketinggalan hasil penyelidikan?

PENYELIDIK perlu bekerjasama dengan industri dan sektor ekonomi berkaitan bagi memastikan hasil kajian dan penyelidikan dapat dikomersialkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak pihak mempersoalkan kejayaan daripada RM1.2 bilion dana penyelidikan yang diperuntukkan kerajaan sejak tiga tahun lalu dalam melonjakkan pertumbuhan pelbagai sektor di negara ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM400 juta pada 2021, RM423 juta (2022) dan RM428 juta (Belanjawan 2023), antara peruntukan terbesar diberikan kerajaan.

Laporan Harta Perbadanan Intelek (MyIPO) menunjukkan hanya 1,806 produk penyelidikan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didaftarkan atau dipatenkan sejak 2018 sehingga Ogos 2023.

Kementerian serta agensi kerajaan pula telah menghantar 1,127 produk penyelidikan untuk didaftarkan atau dipatenkan dalam tempoh sama.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, kecenderungan kajian penyelidikan ketika ini lebih tertumpu kepada tujuan akademik atau kemajuan kerjaya semata-mata.

“Dengan jumlah kecil itu pula, kita tidak ada satu usaha serius yang strategik untuk menentukan semua hasil penyelidikan itu diterjemahkan kepada idea dan inovasi teknologi baharu bagi pembangunan industri dan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Malaysia agak ketinggalan dalam pembangunan produk baharu berbanding negara maju sehingga menggagalkan usaha melonjakkan ekonomi terutama dalam sektor baharu.

Beberapa sektor utama juga tidak mengalami perubahan besar dalam tempoh beberapa dekad berikutan ketiadaan teknologi baharu seperti dalam sektor sawit dan getah.

Malaysia adalah pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia selain pernah menjadi pengeluar getah terbesar dunia.

Kegagalan untuk menghasilkan serta mengkomersialkan produk dan teknologi juga menyebabkan negara ketinggalan berbanding Jepun dan Korea Selatan yang kini menjadi antara dua ekonomi terbesar di Asia.

Data Bank Dunia pada 2022 merekodkan Malaysia berada pada kedudukan 37 ekonomi di seluruh dunia berbanding Jepun dan Korea Selatan masing-masing dalam kelompok 10 teratas.

Kerajaan pada tahun lalu menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi negara menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam tempoh 10 tahun.

Raduan berkata, penyelidik perlu bekerjasama dengan industri dan sektor ekonomi berkaitan bagi memastikan hasil kajian dan penyelidikan dapat dikomersialkan dan memberi manfaat kepada negara.

Beliau juga mengkritik sesetengah penyelidik di universiti yang menggunakan alasan penyelidikan bagi mendapat jawatan lebih tinggi.

“Itu juga ditekankan menteri pendidikan tinggi supaya jangan terlalu ghairah (kejar) ranking, tetapi tentukan segala hasil akademik memberi manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, sebarang peruntukan yang tidak memberi faedah kepada rakyat adalah pembaziran wang negara.

“Kalau bajet banyak tetapi rakyat tidak menikmatinya, jadi tidak tahu wang itu ke mana. Sedangkan kalau mahu bantu rakyat, apa sahaja peruntukan perlu ada impak kepada pengguna atau rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×