BATU PAHAT: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyediakan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk membaik pulih dan membina rumah baharu bagi golongan asnaf pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, daripada jumlah itu, RM7 juta digunakan untuk membaik pulih rumah akibat bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan lain-lain yang berkaitan, manakala RM8 juta lagi bagi membina rumah baharu, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh MAINJ.
“Dengan peruntukan itu, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu membantu membaiki rumah asnaf yang rosak akibat bencana sehingga RM18,000 bagi setiap rumah berdasarkan nilai pembaikan.
“Bagi membina rumah baharu, setiap DUN akan dapat membina sebuah rumah asnaf dengan nilai maksimum RM80,000,” katanya selepas menghadiri Program Kecoh Sekawan Desa di Kompleks Penghulu Mukim Dua Bagan di Semerah, dekat sini.
Menurutnya, dengan adanya peruntukan itu, sebanyak 444 buah rumah di 56 DUN akan baik pulih manakala pembinaan rumah baharu asnaf sebanyak 87 buah.
Permohonan untuk mendapatkan peruntukan itu perlu dimajukan kepada pejabat daerah masing-masing sebelum diserahkan kepada MAINJ untuk penilaian.
“Diharapkan dengan adanya peruntukan itu akan dapat membantu golongan asnaf memiliki kediaman lebih baik dan selesa,” katanya. – UTUSAN










