KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki etnik Rohingya mendukung anaknya untuk melarikan diri selepas meninggalkan lori yang dipandunya gagal apabila ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan hari ini.
Suspek berusia lingkungan 40-an bersama anaknya ditahan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Tunjong.
Pengarah JPJ negeri Mohd. Misuari Abdullah berkata, terdahulu suspek telah bertindak membaling kunci lori yang dipandunya itu ke dalam longkang bertujuan mengaburi mata anggota penguat kuasa.
“Bagaimanapun tindakan licik itu berjaya dihidu oleh anggota bertugas yang kemudian telah menahan lelaki itu.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut mempunyai cukai jalan yang sah. Kita tidak menolak kemungkinan lori itu disewa oleh lelaki berkenaan dari warga tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, semasa ditahan lelaki berkenaan mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, pada masa sama JPJ Kelantan turut menyita 14 buah lagi kenderaan yang dipandu warga asing dipercayai disewa daripada pemilik tempatan.
“Operasi hari ini dilaksanakan daripada hasil dari risikan selama dua bulan oleh Unit Risikan JPJ Kelantan berdasarkan maklumat orang awam.
“Tindakan itu diambil berpandukan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Mohd. Misuari berkata, penguatkuasaan itu bertujuan memastikan warga asing mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
Katanya, pada masa sama golongan itu mesti memiliki lesen memandu yang sah dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berkuatkuasa semasa memandu kenderaan di negara ini.
“Mereka (warga asing) perlu memiliki dokumen yang sah,” katanya.-UTUSAN











