TUMPAT: Taktik seorang lelaki menggunakan lori untuk menyeludup minyak diesel ke negara jiran terbongkar selepas dia dicekup anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 4.30 petang di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori berkenaan telah menjumpai minyak diesel di dalam beberapa tong jerikin yang ditutup dengan kain.
“Kita dapati tindakan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa. Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek menjadikan rumah tersebut transit sementara.
“Terdahulu, kita telah mengesan lori tersebut telah membuat pengisian berulang dari kawasan Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, bahan api itu kemudian akan dibawa ke pangkalan haram sekitar Tumpat untuk diseludup ke negara jiran melalui laluan tidak diwartakan.
Katanya, disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN









