Lelaki didakwa rogol anak kandung - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa rogol anak kandung

SEORANG lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan merogol anak kandungnya sendiri dalam kejadian di Kendong, Rembau pada November tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini menolak rayuan jaminan seorang lelaki yang mendakwa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) selepas dia berhadapan kes merogol anaknya sendiri yang di bawah umur dalam kejadian di Kendong, Rembau, pada November tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 47 tahun itu juga membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 6 Mac ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun enam bulan yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang–undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis kediaman di Kendong, Rembau pada 12 November tahun lalu pada waktu petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dikhuatiri tertuduh akan menganggu mangsa yang merupakan anak kandung tertuduh.

Menurut Hsiao Tung, pengadu dalam kes berkenaan adalah doktor dan mangsa juga telah dipukul selepas kejadian.

“Tertuduh akan dituduh untuk isu (kes pukul) tersebut. Semasa kejadian, mangsa tinggal bersama tertuduh,” katanya.

Tertuduh kemudiannya membuat rayuan jaminan menyatakan ketika kejadian dia berada dalam keadaan mabuk dan telah melakukan perkara yang tidak baik.

“Saya jaga bapa dan saya patah, kemalangan saya OKU, mata satu biji sebelah kiri sudah rosak, umur 47 tahun nak cari kerja baharu pun susah. Macam-macam kerja saya buat,” katanya.

Hakim kemudiannya bertanyakan siapakah yang akan menjamin tertuduh, tertuduh kemudiannya menyatakan kekasihnya akan berbuat demikian.

“Saya punya cinta (kekasih),” katanya namun tiada sesiapa pun yang hadir bagi menjamin tertuduh.

Difahamkan, tertuduh juga akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada hari ini.

Pada 24 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan dipukul oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga mengalami kecederaan teruk.

Mangsa dipercayai dipukul dengan teruk disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan rahsia dirogol kepada teman wanita bapanya yang turut tinggal di rumah bersama mereka.

Mangsa mengalami beberapa kesan kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir.

Lelaki itu telah bertindak memukul mangsa menggunakan tangan serta beberapa alatan seperti kerusi plastik, bakul kain plastik dan meja seterika.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN